Hikmah petunjuk Nabi SAW. ini amatlah besar bagi maslahat umat di akhir Zaman.Hadis-hadis ini menunjukkan mukjizat Baginda SAW. kerana memberitakan perkara yang belum berlaku.
Dari segi politik ia mempunyai nilai siasah yang
amat tinggi dan penuh licik. Apabila Umat terus mentaati pemerintah maka dengan
sendirinya pemerintah tadi akan menjadi lembut hatinya apabila dilembutkan
Allah S.W.T dan mahu ia mendengar cakap rakyatnya dan diterima nasihat mereka
padanya.
Ini kerana pemerintah apabila rakyatnya itu
mengisytiharkan keluar dari taatnya maka keraslah hatinya pada mereka dan
engganlah ia mendengar lagi nasihat mereka. Jadi kewajiban menasihati
pemerintah hanya akan berlaku apabila rakyat itu masih taat dan mengiktiraf
kepimpinan pemerintah itu.
Adapun sebab berlakunya kezaliman pemerintah itu
kerana rakyat menzalimi diri sendiri dan melakukan maksiat. Dalam sejarah kita
lihat apabila rakyat mula terpengaruh dengan faham muktazilah maka Allah
meletakkan Abdullah Al-Makmun sebagai Khalifah dan menjadi keraslah kerajaan
atas Ahli Sunnah dan tersiksalah ulama’ Sunnah sehingga mereka kembali
berpegang dengan sunnah maka Allah meletakkan Al-Mutawakkil ‘Alallah maka
bersinarlah kembali cahaya Sunnah.
Nabi SAW. menasihati pemerintah dan mendoakan
mereka hidayah dan keampunan dan rakyat pula hendaklah sentiasa mengislahkan
diri dan memohon ampun supaya dengan berubahnya rakyat itu kepada baik maka Allah
akan meletakkan juga pemerintah yang baik kepada mereka.
Antara hikmahnya juga terletak apabila Rasulullah
SAW menyuruh kita jangan ikut perintah yang maksiat tetapi dalam masa yang sama
terus menasihati dan mengiktiraf pemimpin itu maka dengan sendirinya apabila
dia melihat rakyatnya tidak ikut perintahnya yang maksiat maka tidaklah lagi
dia akan memerintah dengan maksiat bahkan akan menyuruh yang makruf jua.
Kita misalkan di Malaysia jika semua bangsa Melayu
Islam ini dalam partai kerajaan lalu semuanya sebulat suara mengusulkan supaya
kerajaan menegakkan hukum Allah maka sudah tentu ketika itu tiadalah bagi
kerajaan itu dihadapannya melainkan menegakkan hudud dan qisas dan lainnya
daripada undang-undang Islam.Wallahua’lam.